Sedar atau tidak, tanah Palestin
telah dijajah lebih 60 tahun, sejak tamatnya perang dunia ke-2 tahun 1945.
Melihat kepada kesedaran manusia sejagat umumnya dan umat Islam khususnya,
masih menampakkan sesuatu yang pincang mengenai kecaknaan kita dalam isu ini.
Tidak keterlaluan jika aku katakan bahawa kesedaran kita mengenai isu tanah
suci ketiga umat Islam itu bermusim cuma. Tidak salah juga jika aku katakan
kesedaran kita ibarat kitaran hidup manusia biasa. Malam tidur, siang berjaga.
Kesedaran kita tidak mati, tetapi tidur. Sekali-sekala terganggu baru terjaga.
Mungkin juga betul bahawa kita bukan sengaja tidur, tetapi terlena di atas
keempukkan katil dengan suasana nyaman pendingin hawa sambil diulit dengan
mimpi-mimpi palsu belaka. Sejarah membuktikan musuh-musuh Islam tidak pernah
berhenti menghancurkan Islam dan umatnya sehinggalah hari dan saat ini. Namun,
janji Allah itu pasti,
“…dan Allah tidak sekali-kali akan
memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang
beriman”. (An-Nisa’ : 141)
Malahan, Rasulullah yang sangat kita
rindui juga pernah bersabda mengenai kemenangan Islam satu hari nanti,
“Akan sampai urusan
ini (Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah
tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di Bandar dan perkampungan mahupun di
pedalaman melainkan akan dimasukkanNya agama ini melalui kemuliaan orang yang
mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam
dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran”, dari Tamim al-Dari.
Dalam konteks masyarakat kita masa
kini, aku melihat secara jelas kitaran kesedaran ini melalui teknologi-teknologi
yang kebanyakannya dicipta oleh musuh Islam sendiri. Apabila tiba masanya,
sana-sini sibuk dengan “posting” mengenai Gaza, Tebing Barat dan sebagainya.
Semua laman yang menyampaikan berita terkini mengenai Palestin ini dicari dan
dikongsi. Ada yang menetapkan cita-cita untuk memboikot produk-produk keluaran
Israel dan Amerika Syarikat daripada digunakan dan ada juga yang terus melakukan
solat hajat, qunut nazilah dan sebagainya.
Mahasiswa pula yang mana dari sudut
pandang komuniti adalah golongan intelek turut sama lena beradu. Ramai yang
bersungguh-sungguh menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkah beberapa
orang tokoh seperti Dr.Abdul Aziz Rantisi dan beberapa orang lagi para syuhada yang
sudah aman menanti sang bidadari, Ainul Mardhiah di syurga. Berjuang di
lapangan professional menetang musuh. Ya, ini juga perjuangan, menggunakan
kesempatan dan kelebihan dalam bidang masing-masing untuk turut sama menyumbang
kepada kemenangan Islam kelak. Namun kebanyakan daripada kita terus lena dibius
ubat-ubatan ciptaan tangan-tangan si perosak.
Masa berlalu pergi, masih lagi berlalu
dan terus berlalu pergi membawa bersama semangat yang berkobar-kobar itu
seiring angin perkhabaran mengenai Palestin yang tidak lagi bertiup kencang.
Aku tidak katakan semua, tetapi kebanyakan daripada kita, inilah hakikatnya.
Mari kita sama-sama berfikir adakah perjuangan menegakkan Islam, memerdekakan
tanah Palestin, menyampaikan kebenaran ini hanya sekali-sekala?
Ayuh, semarakkan ‘Malam Untukmu Gaza!’ Semoga usaha kita yang
kecil ini dapat menanam kesedaran yang berterusan. InsyaAllah, akan ada ganjaran
yang besar diperoleh daripada kesedaran yang berterusan.
Berubah menjadi lebih baik.