Thursday, January 12, 2012

Wasiat Imam Syafie

Assalammualaikum...

Dengan nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha pemurah.


Kita sudah mengetahui 10 wasiat Imam Hassan al-Banna, jadi pada entry kali ini, mari kita lihat 10 wasiat dari Imam Syafie sebelum beliau pulang mengadap Sang Pencipta yang Maha Agung.

"Barang siapa yang mahu meninggalkan dunia dalam keadaan yang selamat, maka hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara."


PERTAMA: HAK KEPADA DIRI. 
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. 

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT 
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah. 

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR 
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi. 

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR 
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati. 

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) 
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan. 

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah. 

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) 
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak. 

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) 
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat. 

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W 
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah. 

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT 
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.